ALOR GAJAH: Pelabuhan Tanjung Bruas Port di Tanjung Kling akan dinaik taraf membabitkan kos pembinaan sekurang-kurangnya RM2 bilion bagi merancakkan sektor pengeksportan produk dari negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, projek tersebut bagaimanapun masih di peringkat perbincangan bersama syarikat tempatan termasuk pengeluar terbesar produk cermin automotif, Xinyi Glass.
Katanya, setakat ini pelabuhan itu hanya dapat digunakan oleh syarikat Xinyi Glass yang mengeksport kira-kira 12,000 kontena setiap bulan.
“Dalam masa dua minggu lagi kita akan mengadakan rundingan dengan pihak Tanjung Bruas Port bagi perancangan menaik taraf pelabuhan tersebut untuk membantu bukan sahaja syarikat Xinyi Glass, tetapi syarikat pengeksport yang lain.
“Kita harap syarikat-syarikat tempatan dapat menggunakan pelabuhan itu bagi mengeksport produk ke keluar negara kerana setakat ini skala dia masih rendah dan hanya digunakan oleh Xinyi Glass,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kilang Xinyi Glass Holdings Limited, di Lipat Kajang, di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE