KEMAMAN: Seorang pegawai bomba dipatuk ular kapak tokong ketika operasi menangkap haiwan itu di Kampung Baru Kertih di sini, semalam.
Abdul Rahim Karim, 38, dari Balai Bomba dan Penyelamat Kertih, bagaimanapun stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Katanya, insiden itu berlaku ketika dia bersama empat anggota lain terlibat dalam operasi menangkap ular di sebuah rumah kira-kira 7.30 pukul malam.
“Ular berwarna hijau sepanjang lebih satu meter itu berada di pintu gril hadapan pengadu dan saya menangkapnya menggunakan alatan khas.
“Namun, ketika mahu memasukkannya ke dalam karung, ular itu bertindak mematuk tangan kiri saya dan taringnya yang panjang menembusi sarung tangan yang dipakai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Abdul Rahim berkata, pada awalnya dia ke Klinik Kesihatan Kertih, namun diarahkan segera ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, sepanjang 18 tahun berkhidmat, ini adalah kali pertama dia dipatuk ular.
“Malah, ular itu antara yang berbisa pernah ditangkap,” katanya. – UTUSAN ONLINE