SEREMBAN: Seorang pegawai bank berputih mata selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam sehingga wang simpanannya lesap sebanyak RM104,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa iaitu seorang wanita berusia 47 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada pukul 9 pagi semalam.
Mangsa dimaklumkan terdapat transaksi daripada kad kredit berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin. Perbualan telefon berkenaan kemudian disambungkan kepada seorang wanita bernama Sarah kononnya daripada Bank Negara.
“Sarah memberitahu terdapat transaksi atas nama mangsa dan laporan dibuat ke atas mangsa.
Perbualan berkenaan kemudianndisambungkan lagi kepada seorang lelaki dan lelaki berkenaan telah meminta mangsa mengemas kini pita magnetik pada kadnya.
“Mangsa juga diminta untuk menyenaraikan kad bank yang dimiliki dan diarah menukar nombor pin di mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Mangsa memberikan maklumat yang diminta tanpa menyedari ia adalah perbuatan scam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, mangsa yang kemudian berasa bimbang telah membuat semakan di sebuah bank di bandar ini dan mendapati terdapat pengeluaran wang dalam akaunnya sebanyak RM104,000.
Menurutnya, pengeluaran tersebut adalah atas nama akaun Haliqkul Zaman dan Nurul Nadia.
“Mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell semalam bagi tindakan selanjutnya dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE