GEORGETOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan tahap kemahiran dan kepakaran polis bantuan supaya dapat bertindak mencegah jenayah di premis seliaan masing-masing dengan lebih cekap.
Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Mazli Mazlan berkata, tahap kemahiran polis bantuan menangani jenayah di premis masing-masing perlu berada pada tahap tertinggi kerana ancaman jenayah yang berlaku pada masa ini lebih kompleks dan pelbagai.
“Sekarang kita sedang menuju kepada ‘imej polis dunia’, kita akan meningkatkan lagi tahap kemahiran dan kepakaran yang ada pada anggota dan pegawai polis bantuan. Ini untuk memastikan mereka dapat mengatasi apa juga bentuk ancaman yang berlaku di kawasan atau premis yang mereka kawal,” katanya selepas menghadiri persidangan tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) yang ke-32, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden MAPA, Mohd. Razali Abdul Aziz.
Menurut Mazli, latihan yang lebih maju itu perlu diberikan kepada anggota dan pegawai polis bantuan kerana mereka juga sebahagian petugas barisan hadapan yang sentiasa berada di lapangan.
Selain itu Mazli berkata, polis juga bersedia menambah jumlah keanggotaan polis bantuan sekiranya terdapat keperluan serta permohonan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat persendirian.
“Setakat ini terdapat kira-kira 59,000 polis bantuan meliputi kira-kira 253 GLC dan syarikat persendirian. Sama ada untuk tambah keanggotan atau tidak, ia berdasarkan permohonan yang dibuat oleh syarikat, jika ada keperluan kita akan pertimbangkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE