PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pelbagai unit terus komited membantu mangsa banjir di pelbagai kawasan yang terjejas.
Pasukan keselamatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan dihulurkan sepasukan pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion (BN) 6, PGA BN 5 dan Pasukan Polis Marin (PPM) Port Klang di kawasan Sri Muda, Shah Alam.
Jelas kenyataan itu, mereka ditugaskan membantu operasi pasca banjir di Masjid Al-Falah dengan membersihkan sekitar tempat tersebut dan menyelenggara peralatan-peralatan elektrik terutama sistem audio masjid yang terjejas.
Sementara itu, di Hulu Langat, sepasukan pegawai dan pegawai rendah polis (PRP) dari PGA Batalion BN 5 dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 4, Kuala Lumpur turut sama-sama turun padang membantu operasi pasca banjir.
“Bantuan diberikan dengan membersihkan rumah pesara Ketua Pengarah Kanan JKR dan kawasan sekitar yang terjejas.
“Selain itu, Pasukan Polis Marin, Putrajaya dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dari Ampang dan Hulu Langat serta wakil pihak sekolah ditugaskan membantu membersihkan kawasan Sekolah Rendah Agama dan Kolam Air Panas Batu 16, Dusun Tua dekat sini,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE