HULU LANGAT: Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas pasca banjir dan persediaan bencana alam itu untuk memudahkan koordinasi membabitkan segala keperluan rakyat yang terkesan musibah tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali itu dan dianggotai agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut beliau, pasukan berkenaan berfungsi untuk memudahkan proses pemberian sumbangan pasca banjir dan menghadapinya jika berlaku gelombang kedua banjir kilat.
“Kita lihat kerja-kerja pasca banjir ini adalah satu perkara besar dan rumit kerana terutama kerja pembersihan memerlukan koordinasi yang betul, lengkap dan sempurna di samping kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).“Begitu juga pembahagian sumbangan dan bantuan wang ihsan, pembaikan rumah sebagainya. Ia memerlukan koordinasi betul lengkap dan perlu diselesaikan segera.
“Jadi saya bersetuju menubuhkan pasukan khas pasca banjir dan persediaan kalau berlaku banjir gelombang kedua kerana ini memerlukan persediaan awal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau mahu pasukan itu dapat mengadakan secepat mungkin atau seboleh-bolehnya esok supaya tidak mahu berlaku kelewatan membabitkan aspek penyaluran bantuan kepada rakyat terjejas.
Jelasnya, kerajaan tidak mahu ekoran tindakan terlalu banyak perkara yang perlu dipertimbang dalam satu-satu masa dan boleh berlakunya kelewatan proses agihan bantuan.
“Insya-Allah segala arahan kerajaan adalah di bawah kuasa Ketua Setiausaha Negara, jadi tidak timbul isu tidak patuh arahan kerana segala di bawah arahan KSN (Ketua Setiausaha Negara),” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu karenah birokrasi menjadi punca kelewatan di dalam proses penyaluran bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan banjir.
Justeru, beliau meminta semua kementerian agensi berkaitan untuk menyegerakan dan memproses proses permohonan berkenaan.
“Saya tidak mahu pelbagai karenah birokasi yang akhirnya menyusahkan rakyat sedangkan mereka sudah susah. Jadi jangan susahkan mereka sedangkan kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan kewangan untuk mereka,” katanya.