PETALING JAYA: Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor iaitu Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat, semalam.
Menurut Istana Negara, seramai 120 pegawai dan kakitangan Istana Negara tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir pada misi semalam.
“Sumbangan yang dihulurkan berbentuk barang keperluan harian seperti toiletries, pakaian, tuala, makanan kering dan air, termasuk Covid-19 kit. Pasukan Bencana Istana Negara turut membantu mangsa banjir membersihkan masjid dan rumah mereka yang terjejas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pasukan Bencana Istana Negara ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir buruk.
Seri Paduka amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mereka dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka.
Pasukan Bencana Istana Negara itu diterajui Brig. Jen. Datuk Mohd Zahari Yahya yang juga merupakan Juruiring Udara kepada Seri Paduka. – UTUSAN ONLINE