Pasangan kekasih diserang, dipukul tanpa sebab - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih diserang, dipukul tanpa sebab

TAI Yoke Eng (kanan) dan Benjamin Low Keng Seng (tengah) bersama Lim Thow Siang menunjukkan keadaan muka yang cedera akibat dipukul sekumpulan lelaki pada sidang akhbar di Pejabat MCA Pasir Gudang di Taman Johor Jaya, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih bingung apabila mereka diugut dan dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam satu kejadian di sebuah restoran makanan laut di Taman Impian Emas, pada pukul 12.30 tengah malam, 11 Disember lalu.

Seorang pekerja bank, Tai Yoke Eng, 25, memberitahu, pada mulanya dia hanya menerima jemputan kenalannya untuk menghadiri jamuan makan bersama beberapa individu lain di restoran tersebut.

Dakwanya, situasi mula berubah apabila teman lelaki kenalannya itu mula memegang tubuh badannya membuatkan dia berasa tidak selesa.

“Saya menepis tangan lelaki berkenaan dan menghubungi teman lelaki saya untuk datang mengambil saya. Ketika kami mahu pulang, seorang lelaki membaling kerusi ke arah kami.

“Sejurus selepas itu muncul sekumpulan lelaki seramai kira-kira 10 orang dan mereka bertindak memukul teman lelaki saya. Kenalan saya memegang badan saya dan menghalang saya untuk membantu teman lelaki,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Tambah Yoke Eng, akibat kejadian itu tangannya lebam manakala teman lelakinya, Benjamin Low Keng Seng, 27, cedera di bahagian muka dan tubuh badannya.

Selain itu katanya, sehingga kini mereka masih tertanya-tanya mengapa kejadian itu berlaku kerana kenalannya itu enggan memberitahu punca mereka diserang sehingga dicederakan.

“Kami telah membuat laporan polis secara berasingan berhubung kejadian tersebut dan berharap tindakan tegas dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Sementara itu, Keng Seng yang bekerja sendiri memberitahu, akibat kejadian tersebut dia mengalami kecederaan luaran dan dalaman sehingga muntah darah.

“Saya bukan sahaja ditumbuk dan ditendang, malah turut dipijak salah seorang lelaki yang bertindak menyerang saya.

“Selain itu, ketika kami telah berjaya memasuki kereta untuk melarikan diri, salah seorang daripada mereka menendang bahagian depan kereta sehingga berlaku kerosakan,” katanya yang terpaksa membayar RM8,000 ketika mendapatkan rawatan awal di sebuah hospital swasta di sini.

Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Lim Thow Siang berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera mengikut lunas undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan memberitahu kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya