SIK: Pemimpin Pas dan UMNO masih meneruskan perbincangan mengenai kerjasama kedua-dua parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, parti itu tetap berpegang kepada pendirian untuk memperkukuh MN bersama UMNO, selain jalinan kerjasama bersama parti-parti di dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, perbincangan tersebut sentiasa diadakan termasuk di peringkat negeri walaupun secara tidak rasmi.
Pada masa sama, katanya, Pas juga memperkukuh Perikatan Nasional (PN).
“Memang setakat sekarang, (prinsip) kita kukuhkan (MN). (Bersama) Perikatan Nasional (PN) pun kita kukuhkan,” katanya selepas majlis perjumpaan bersama Tuan Guru Pondok Negeri Kedah di Madrasah Ar Rahmaniah, Pondok Tuan Guru Haji Salleh, di sini hari ini.
Idris berkata, pada masa ini Pakatan Harapan (PH) yang mahu melihat segala usaha bagi membentuk kerjasama dalam MN dan PN digagalkan.
“Yang tak nak (PN dan MN) dikukuhkan adalah PH sahaja,” ujarnya.
Semalam, Pas Kelantan menetapkan 22 Januari ini sebagai tarikh pertemuan dengan UMNO Kelantan bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti itu dalam MN.
Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pertemuan itu antara lain turut membincangkan hala tuju serta masa depan kedua-dua parti tersebut pada PRU-15. – UTUSAN ONLINE