PADANG TERAP: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa beliau sehingga kini masih belum menerima sebarang pencalonan untuk memimpin mana-mana parti politik.
Tanpa mengiyakan atau menafikan desas-desus yang mengaitkannya dengan parti baharu, Parti Bangsa Malaysia, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, mana-mana pihak yang mahu menggerakkan parti politik boleh berbuat demikian memandangkan negara ini mengamalkan demokrasi.
Katanya, selagi pihak yang mahu menggerakkan parti itu mahu berbuat kebaikan untuk negara, mereka tidak sepatutnya dihalang daripada berbuat demikian.
“Belum lagi saya dapat pencalonan (memimpin parti politik). Kita ini kalau dalam parti apa pun, kena fikirkan untuk bangunkan negara dan membantu rakyat, itu yang penting.
“Jadi kalau ada 10 atau 20 parti pun dan niatnya sama, maka negara akan membangun tetapi kalau niatnya lain, negara ini tak akan membangun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS), Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah LGM, Lee Chin Cheh; Ketua Pengarah LGM, Dr. Zairossani Mohd. Nor serta Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC), Dr. Daroyah Alwi.
Sebuah portal baru-baru ini melaporkan Zuraida yang merupakan bekas Naib Presiden PKR, dikatakan bakal mengetuai sebuah parti baharu dikenali Parti Bangsa Malaysia.
Parti tersebut dikatakan telah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 29 Oktober lalu dan antara individu lain yang dikatakan bakal memimpin parti tersebut adalah Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Larry Sng serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar.
Ditanya mengenai desas-desus mendakwa beliau akan keluar daripada Bersatu dan memimpin parti baharu, Zuraida kemudiannya memulangkan semula soalan kepada wartawan.
“Parti apa? Parti itu belum ada nama lagi, macam mana tak tahu pemimpin? Tak ada orang nak pimpin lagi, macam mana nak pimpin?” Soalnya.