[PARLIMEN] Pantun cuit ahli Parlimen penutup sidang Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Pantun cuit ahli Parlimen penutup sidang Dewan Rakyat

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini ditutup dengan pantun yang mencuit pelbagai keletah ahli Parlimen daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Katanya, jika sebelum ini beliau tidak sempat membalas pantun yang diutarakan, kali ini gilirannya untuk membalas pula.

“Batu Kawan berwarna warni, Jelutong tidak habis berdiri, setiap hari kita di sini, amanah rakyat kita penuhi.

“Port Dickson bangkit isu Pandora, katanya saya jadi peguam bela, suasana politik memang bergelora, nasib rakyat mesti kita bela.

“Yang Amat Berhormat Bera orangnya tenang, Rembau pula orangnya tampan, YDP kadang-kadang naik berang, namun dalam hati tak pernah disimpan,” katanya di Dewan Rakyat sambil ahli Parlimen tertawa.

Azhar dalam masa yang sama turut memaklumkan sepanjang persidangan berlangsung selama 33 hari bermula 25 Okober lalu, pelbagai langkah diambil bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar termasuk mewajibkan ujian RTK Ag Saliva secara berkala di samping menggalakkan pengambilan dos penggalak (booster dose) vaksin Covid-19 kepada semua ahli Parlimen dan pihak terlibat.

“Saya sebagai Tuan Yang Dipertua dan Timbalan saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan yang telah memberikan sepenuh komitmen dalam memastikan Parlimen Malaysia sentiasa dalam keadaan terkawal dan selamat daripada penularan wabak Covid-19.

“Tidak saya lupakan juga ucapan terima kasih kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen Malaysia khususnya Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa serta semua pihak yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian urusan Majlis Mesyuarat sepanjang tempoh dewan kali ini bersidang,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Krismas yang akan disambut pada Sabtu ini kepada mereka yang beragama Kristian serta ucapan Tahun Baharu 2022 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya juga menasihatkan semua Ahli Yang Berhormat untuk sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan agar kita sama-sama dapat mengekang penularan wabak Covid-19 yang masih belum ada kesudahan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya