SHAH ALAM: Situasi banjir di negeri ini beransur pulih apabila paras air enam kawasan di Sungai Selangor, Sungai Bernam, Sungai Buloh dan Sungai Langat menunjukkan trend menurun.
Bagaimanapun, Sungai Langat di kawasan Bukit Changgang masih mencatatkan tahap bahaya kerana melepasi paras 4.5 meter (m) iaitu 0.3 m sebelum paras amaran.
Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga pukul 7 pagi tadi, tiga kawasan masih berada pada kategori berwaspada iaitu di TNB Pangsun, Hulu Langat; Rantau Panjang dan Kampung Asahan di Kuala Selangor.
Sementara di Kampung Rimba, Sabak Bernam, paras air sungai di sana kini berada pada tahap normal dengan bacaan 1 m.
Dalam pada itu, pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini mendapati, air semakin surut dan Persiaran Budiman kini boleh dilalui kenderaan ringan sejak tengah malam tadi.
Keadaan yang disifatkan beransur pulih itu selepas pintu air dapat dibuka pada pukul 8.30 malam tadi membolehkan banjir surut dengan cepat. – UTUSAN ONLINE