Pantai berpasir tarikan terbaharu di Putrajaya - Presiden PPj

Pantai berpasir tarikan terbaharu di Putrajaya

MUHAMMAD Azmi Mohd. Zain menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jom Balik Sekolah Putrajaya 2021 hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pantai berpasir di Anjung Floria, Presint 4 atau dikenali sebagai ‘sandy beach’ yang akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan di sini, bakal dibuka kepada pengunjung pada hujung bulan ini.

Lokasi tersebut yang berkeluasan 600 meter persegi dengan kepanjangan kira-kira 100 meter boleh memuatkan kira-kira 150 orang dalam satu-satu masa serta menggunakan sepenuhnya air di tasik Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain berkata, tarikan baharu itu adalah antara satu daripada usaha pihaknya untuk meningkatkan lagi jumlah pengunjung di Putrajaya.

“Ia berbeza dengan pantai buatan sedia ada di Presint 5 kerana di sana ialah kolam buatan yang penyelenggaraannya tinggi berbanding pantai berpasir di Anjung Floria ini menggunakan air tasik Putrajaya.

“Kualiti air tasik ini ialah 2A dan ada juga di sesuatu kawasan kelas 1. Untuk membolehkan kita melaksanakan aktiviti bersentuhan dengan air, kualiti air adalah kelas B,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Sumbangan Jom Balik Sekolah Putrajaya 2021, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pantai berpasir tersebut yang sudah siap pada 4 Disember lalu itu akan mengenakan sedikit bayaran kepada pengunjung yang mahu menikmati suasana di kawasan tersebut malah lokasi seperti itu akan diperbanyakkan lagi di sini jika mendapat sambutan menggalakkan.

Mengulas lanjut, Muhammad Azmi berkata, faktor air tasik di Putrajaya yang bersih juga membolehkan lebih banyak lagi aktiviti berkaitan air dapat dijalankan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

“Selain pantai berpasir ini, kita menyediakan aktiviti kayak, bot dan memancing malah Anjung Floria ini juga dijadikan ‘pitstop’ utama untuk aktiviti berbasikal selain akan terdapat jualan tanaman (garden shop) yang akan dibuka dalam masa terdekat,” katanya.

Berhubung penyerahan sumbangan hari ini, beliau berkata, ia melibatkan 200 pelajar terdiri daripada keluarga B40 dan asnaf dengan sumbangan melibatkan baucar keperluan persekolahan bernilai RM100, beg dan peralatan sekolah, pelitup muka dan kit ujian kendiri Covid-19.

Katanya, berdasarkan sistem eKasih, terdapat 19 keluarga miskin di Putrajaya namun, dengan bancian sendiri bersama agensi lain, pihaknya mendapat maklumat terdapat 200 pelajar daripada golongan yang memerlukan.

“Diharapkan dengan sedikit bantuan ini, anak-anak bersemangat menjalani sesi persekolahan dan memberi tumpuan serta perhatian kepada pembelajaran.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kita berharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung ibu bapa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya