Pakej 2 Jalan Pintasan Air Itam - Lebuhraya Lim Chong Eu berjalan seperti biasa  - Utusan Malaysia

Pakej 2 Jalan Pintasan Air Itam – Lebuhraya Lim Chong Eu berjalan seperti biasa 

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pelaksanaan projek Jalan Pintasan Air Itam ke Lebuhraya Lim Chong Eu (Pakej 2) di sini berjalan seperti biasa walaupun berlaku penamatan bersama (mutual termination) kontrak antara Vertice Bh.  dan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC). 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, penamatan kontrak itu langsung tidak memberi kesan terhadap pelaksanaan Pakej 2 kerana kerja-kerja pembinaan dimulakan oleh CZC sendiri tanpa menggunakan kontraktor lain. 

“CZC memulakan pembinaan tahun ini setelah diambil alih oleh pengurusan baharu. Oleh itu, tiada lagi keperluan untuk melantik syarikat Buildmarque Construction Sdn. Bhd. Justeru, penamatan bersama ini hanyalah isu pentadbiran di antara kedua-dua pihak dan langsung tidak menjejaskan pembinaan Pakej 2,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan negeri , Oh Tong Keong berkata, lembaga pengarah Vertice Berhad mengumumkan anak syarikatnya Buildmarque Construction, Vertice Construction dan CZC bersetuju dan menandatangani pembatalan dan penamatan konsesi bagi projek Pakej 2 itu yang bernilai RM815 juta dan memulangkan kembali deposit pada masa sama. 

Tong Keong berkata, pembatalan dan penamatan konsesi itu menimbulkan persoalan mengenai hala tuju projek Pakej 2 berkenaan. 

Menurut Zairil, pada awal 2019, CZC telah menganugerahkan kontrak pembinaan Pakej 2 kepada Buildmarque Construction  iaitu satu usahasama antara Vertice Bhd. dan Vizione Holdings Bhd.. 

“Namun seperti yang diumumkan pada waktu itu, kontrak tersebut adalah tertakluk kepada beberapa syarat. Oleh kerana syarat-syarat tersebut tidak dapat dipenuhi, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membuat penamatan bersama,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya