KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju menyumbang Bantuan Khas Bencana Banjir RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir di negeri ini.
Bantuan tersebut sepertimana disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir semasa bencana sama di negeri ini tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sebagai meneruskan tradisi tanda prihatin terhadap nasib mangsa banjir di negeri ini.
Beliau berkata, terdapat empat kategori penerima yang menerimanya.
“Penerima bantuan itu melibatkan mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mangsa tidak berpindah ke PPS tetapi menumpang di rumah saudara-mara.
“Turut menerimanya mangsa yang tinggal di rumah sewa dan mangsa yang membuat keputusan untuk tidak berpindah ke mana-mana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, selain tanda prihatin, kerajaan negeri membuat sumbangan berkenaan berdasarkan kemampuan dan keupayaan kewangannya.
“Sumbangan RM500 ini pula dikira wajar demi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE