IPOH: ‘Saya bukan lagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC’.
Begitu kata Hairul Anwar Mohamed mengenai kedudukannya dalam pasukan selepas pasukan itu dimiliki Impact Media Communications Sdn Bhd (IMC).
Menurut Hairul atau Own, IMC sudah melantik CEO serta Ahli lembaga Pengarah (BOD) baharu.
“Saya serta BOD lama sudah digantikan berkuatkuasa 15 Disember lalu.
“Kini orang lain menjadi CEO dan BOD Perak FC,” katanya.
Own juga tidak tahu sama ada isu tunggakan gaji pemain sudah diselesaikan oleh IMC.
“Saya tiada maklumat mengenainya. Apapun saya berharap ia sudah diselesaikan oleh pengurusan baharu pasukan,” katanya.
Apapun Hairul berkata BOD lama sudah melaksanakan tugas membentuk pasukan bagi musim baharu.
“Perak sudah ada kira-kira 20 pemain. Jumlah ini mencukupi untuk membentuk pasukan.
“Jika tidak cukup pengurusan kena cari pemain tambahan bagi mencukupkan bilangan,” katanya.
Menurut Own, kini hanya tinggal dua pemain berpengalaman iaitu Idris Ahmad dan Firdaus Sayadi bagi menghadapi kempen Liga Perdana musim 2022 nanti.
Menurutnya pemain seperti Amirul Azhan Aznan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Azri Ghani, Adib Raof memilih haluan berbeza.
Selain itu, Raffiuddin Roddin juga dikatakan sedang berurusan untuk meminta pelepasan.
IMC juga belum menamakan Ketua jurulatih baharu pasukan serta pemain import dan tempatan yang akan memperkuat Perak FC, musim ini.