KOTA TINGGI: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) baki 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki masih hilang selepas bot pancung dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Balau, Rabu lalu ditamatkan hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, pusat pangkalan hadapan Carilamat yang dibuka di pantai tersebut sejak lima hari lalu akan ditutup hari ini.
“Dimaklumkan operasi pencarian ditamatkan hari ini di mana pusat kawalan di tempat kejadian yang ditubuhkan akan ditutup.
“Bagaimanapun pencarian dan pemantauan di laut dan darat tetap dilakukan oleh petugas yang mengawal persisiran pantai termasuk rondaan menggunakan aset di laut yang membuat operasi harian.
“Sebagai contoh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan motosikal seperti mana mereka lakukan rondaan Op Benteng manakala Maritim Malaysia menggunakan aset tetap yang berada di laut untuk jalankan operasi.
“Keputusan ini dibuat selepas tiada penemuan baharu dan peluang menemukan mangsa di laut tipis kerana operasi Carilamat yang khusus tanpa sebarang petunjuk dilihat kurang efektif dan berkesan,” katanya pada sidang akhbar di PHC Tanjung Balau, hari ini.
Simon Templer berkata, pihaknya meneruskan hebahan kepada komuniti maritim seperti nelayan, syarikat perkapalan, pengusaha feri dan bot untuk salurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika menjumpai petunjuk baru berkaitan kes tersebut.
Beliau turut menghargai kerjasama ATM, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kejora, pejabat daerah dan Konsulat Republik Indonesia.
“Tidak dilupakan komuniti maritim yang terlibat secara langsung atau tidak dan media yang telah membuat liputan sepanjang operasi Carilamat ini.
“Pesanan kepada komuniti maritim terutama nelayan agar tangguh aktiviti di laut jika keadaan cuaca buruk dan peka amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi terutamanya bagi bot kecil. Sebarang kecemasan segera hubungi talian 999,” katanya.