SHAH ALAM: Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Persiaran Kemuning Prima, Seksyen 25 kini diumum tutup selepas kerja-kerja menyelamat mangsa banjir dianggap selesai di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun bantuan kepada mangsa yang memerlukan masih boleh disalurkan menerusi Bilik Operasi Bencana di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang masih lagi beroperasi.
Penutupan itu dimaklumkan menerusi kenyataan Setiausaha Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang yang memberitahu operasi menyelamat dan tugasan pengagihan bantuan selesai.
“Oleh yang demikian PKTK Taman Sri Muda diisytiharkan tutup (stand down) pada 26 Disember pukul 12 tengah malam tadi. Sebarang bantuan atau pertanyaan atau aduan di kawasan Sri Muda boleh disalurkan terus ke IPD Shah Alam.
“Sehubungan itu, semua agensi yang terlibat di PKTK Taman Sri Muda perlu memastikan segala kelengkapan dan aset agensi di PKTK diurus dengan sebaiknya dan mengembalikannya kepada pihak yang membekalkan peralatan berkenaan,” katanya.
PKTK yang dibuka sejak Ahad, 19 Disember lalu itu dibuka dan menjadi pusat koordinasi pasukan keselamatan dan bantuan kepada mangsa banjir serta memantau operasi menyelamat dan sidang akhbar perkembangan banjir di Selangor dan seluruh negara.