GEORGETOWN: Kesemua 10 hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibuka di beberapa negeri bagi merawat pesakit Covid-19 menamatkan operasi masing-masing susulan penurunan jumlah kes jangkitan Covid-19.
Bagi Pulau Pinang, dua buah hospital medan yang dibuka iaitu hospital medan ATM di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) dan ICU hospital medan ATM Kepala Batas ditutup secara rasmi hari ini.
Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata, dua buah hospital medan di Pulau Pinang itu adalah hospital medan terakhir yang ditutup operasinya setelah angka kes Covid-19 menurun dengan ketara.
“Objektif penubuhan hospital medan ATM adalah bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) merawat pesakit Covid-19, yang mana penggunaan katil di hospital KKM telah melebihi kapasiti 90 peratus pada ketika itu.
“Hospital medan ATM Pulau Pinang dan ICU hospital medan ATM Kepala Batas ditutup secara rasminya pada hari ini selepas angka kes Covid-19 telah menurun hasil kejayaan dan keberkesanan langkah mitigasi serta program vaksin di negara ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Simbolik Penutupan Hospital-Hospital Medan ATM di HPP, di sini hari ini.
Pada 11 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pembukaan hospital medan di HPP bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini.
Menurut Muhammad Huzaimi, bagi ICU Hospital Medan ATM Kepala Batas, sejak beroperasi pada 28 Mei lalu sebanyak 421 pesakit Covid-19 dirawat di situ dengan 381 pesakit telah sembuh.
“Untuk hospital medan ATM di HPP pula, sebanyak 499 pesakit dirawat di situ sepanjang 97 hari beroperasi,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, walaupun kesemua operasi hospital medan telah ditamatkan namun pihaknya bersedia membuka kembali operasi hospital berkenaan sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian.
“Setakat ini kami tidak menerima sebarang arahan untuk membuka kembali operasi hospital medan. Kami sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menjalankan semula operasi hospital ini jika diperlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE