Op Lumpur pantau pemaju perumahan, elak banjir lumpur - Utusan Malaysia

Op Lumpur pantau pemaju perumahan, elak banjir lumpur

S. Veerapan hadir pada pemeriksaan kawalan hakisan dan kelodak (Op Lumpur) di Taman Iringan Bayu, Seremban, hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua pemaju perumahan di Negeri Sembilan perlu mematuhi Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) yang diluluskan bagi mengelak kejadian banjir lumpur dan pencemaran sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata, kerajaan negeri menerusi jawatankuasa dan pasukan petugas ‘Op Lumpur’ akan menjalankan pemantauan terhadap setiap kerja-kerja tanah yang sedang dijalankan oleh pihak pemaju.

Veerapan berkata, Op Lumpur tersebut turut membantu kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar dan mengawal kualiti air sungai.

“Saya bersama pasukan petugas Op Lumpur termasuk Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri dan Jabatan Kerja Raya negeri telah menjalankan pemantauan kerja-kerja tanah yang sedang dijalankan oleh pihak pemaju di tapak projek.

“Pemaju-pemaju yang sedang menjalankan kerja tanah perlu mematuhi sepenuhnya ESCP yang telah diluluskan. Segala komponen-komponen ESCP yang telah dibina oleh pemaju hendaklah diselenggara secara berkala antaranya sediment basin, temporary earth drain dan check dam bagi memastikan komponen ESCP tersebut berfungsi dengan baik dan tidak berlaku sebarang kejadian banjir lumpur,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melawat dan membuat pemeriksaan kawalan hakisan dan kelodak menerusi Op Lumpur di tapak projek perumahan Iringan Bayu di Mambau di sini.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, Veerapan berkata, ia bertujuan memberi mesej dan peringatan kepada semua pemaju di negeri ini supaya mematuhi ESCP yang ditetapkan dalam usaha sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar terutamanya sungai.

“Kami melawat taman perumahan Iringan Bayu pada hari ini yang mana setiap tapak kita lawati tadi mematuhi komponen-komponen ESCP ditetapkan.

“Jadi kami harap perkara ini menjadi contoh dan suatu perkara yang perlu dipatuhi oleh pemaju-pemaju lain di negeri ini,” katanya.

Jelas Veerapan, setakat ini pihaknya menerima satu aduan mengenai pihak pemaju yang tidak mematuhi ESCP ditetapkan di daerah Tampin dan tindakan susulan telah diambil terhadap pemaju terbabit.

“Jadi, kami mahu ingatkan kepada pemaju supaya mematuhi peraturan ditetapkan, jika tidak tindakan akan diambil dengan mengenakan kompaun kepada pemaju terlibat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya