PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin selamat diijab kabulkan dengan pilihan hatinya, Dr. Rushdi Ramli, semalam.
Perkhabaran gembira tersebut, dikongsikan sendiri penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu menerusi satu perkongsian gambar dan kapsyen panjang di platform tersebut.
Menurut Nora, dia memohon maaf buat semua pihak kerana tidak menghebahkan ikatan tersebut kerana majlis perkahwinan diadakan sekadar memenuhi perkara wajib sahaja.
“Bersempena dengan malam Jumaat yang merupakan Sayyidul Ayyam. Saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah, ingin memaklumkan saya kini telah bertemu jodoh dengan seorang hamba Allah yang merupakan sahabat baik arwah Johan sejak kecil lagi.
“Beliau ialah saudara Rushdi Ramli. Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi memang berniat untuk tidak menghebah-hebahkan ikatan ini. Cukupklah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.
“Saya berpegang kepada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari publisiti. Hanya kebaikan yang saya harapkan” coretnya panjang.
Di samping itu, penyanyi itu sempat meminta orang ramai untuk menitipkan doa yang baik-baik agar dipermudahkan urusan dan diberkati Allah buat dirinya dan pasangan.
“Saya juga memohon agar semua insan yang mengenali saya dan para peminat, sudi menitipkan doa mendapat keluarga Sakinah mawaddah warahmah.
“Selain itu, dipermudahkan segala urusan, diberkati serta diredai Allah dunia dan akhirat, InsyaAllah,” katanya.
Nora juga menzahirkan penghargaan buat keluarga terdekatnya dan semua pihak terlibat yang sentiasa memberi semangat serta menitipkan doa buat dirinya.
Sekadar informasi, Nora sebelum ini telah mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan Nawawi, pada tahun 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.