SHAH ALAM: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini dan antarabangsa menyelar tindakan Kerajaan United Kingdom (UK) mengkategorikan Hamas sebagai kumpulan pengganas pada 19 November lalu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang juga Penyelaras Advokasi Rakyat Asean untuk Palestin, Mohd.Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, tindakan sedemikian membolehkan sesiapa yang menyokong pertubuhan itu dilihat sebagai penjenayah.
Menurutnya, langkah itu juga menunjukkan UK sebagai pro-Israel dan bersekongkol dengan negara pengganas terbabit untuk menyekat gerakan pembebasan rakyat Palestin oleh pertubuhan di seluruh dunia.
“Kami sangat pelik dengan langkah itu, kerana Hamas tidak mempunyai aktiviti formal di UK.
“Jadi jelaslah bahawa langkah itu sebenarnya bertujuan untuk melenyapkan sebarang jenis kehadiran Hamas di wilayah UK yang entah bagaimana dianggap (yang tidak benar) sebagai mengancam masyarakat Yahudi,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Setiausaha Dalam Negeri UK, Priti Patel yang mengumumkan beliau sedang mengemukakan cadangan untuk mengkategorikan Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Cadangan tersebut juga bakal melarang aktiviti seperti memakai pakaian dengan slogan atau mengibarkan bendera pertubuhan tersebut.
Bagaimanapun, kenyataan Mohd. Azmi menentang tindakan Kerajaan UK itu turut disokong Perikatan Masjid-masjid Dibiayai dalam Pertahanan Al Aqsa, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia,Citizens International, Yayasan Al Quds Malaysia dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia
Selain itu Sekretariat Palestin Malaysia, Sekretariat MyChild International,Pengerusi Kempen Rakyat Asean untuk Pembebasan Al Aqsa, BDS Malaysia, ACCIN Malaysia, MyCare, HALUAN Malaysia dan Ummah Care turut menyelar tindakan Kerajaan UK.
Malah, beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Kumpulan Kerja Al Aqsa Indonesia, Majlis Jaringan Kemanusiaan Pejabat Syeikhul Islam Thailand, Pengarah Serantau, Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina, Wilayah IX, Semenanjung Zamboanga Filipina, Presiden Pertubuhan Kemanusiaan dan Keadilan Kemboja serta Community Sosial dan Kebajikan Arakan Selatan Myanmar turut menyokong kenyataan Mohd. Azmi
Dalam pada itu, tindakan UK dan sekutunya di Barat yang menyokong Israel turut dilihat cuba menggambarkan Hamas dalam naratif sebagai pertubuhan asing yang cuba menyekat kebebasan penduduk Palestin.
Jelas Mohd. Azmi lagi, sedangkan banyak inisiatif dilakukan di UK menyokong perjuangan Palestin dan penduduk Palestin di Gaza.
“Selepas sayap tentera Hamas telah diharamkan di UK, kini kerajaan mahu melanjutkan langkah itu kepada sayap politik juga. Penamaan dan pelabelan itu akan menjenayahkan sesiapa yang menberi sokongan terhadap pergerakan itu.
“Perintah melabelkan sebagai teroris itu boleh digunakan dengan mudah untuk menjenayahkan apa sahaja aktiviti aman dan kerja amal yang dikait dengan Hamas. UK bersama sekutu Barat Israel yang lain, menggambarkan Hamas sebagai organisasi asing yang menjadikan penduduk Palestin di Gaza sebagai ‘tebusan’,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE