LIPIS: Tiga naskhah surah Yasin yang disimpan di atas meja sebelum kejadian banjir di sebuah sekolah menengah di bandar Kuala Lipis, lima hari lalu masih kelihatan sempurna sehingga menarik perhatian ramai.
Naskhah Yasin itu ditemukan di sebuah bilik kakitangan sekolah tersebut ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan hari ini selepas banjir surut.
Turut kelihatan bersih tanpa kesan lumpur, iaitu meja yang diletakkan naskhah Yasin dan sebidang karpet sederhana yang digunakan oleh kakitangan di situ untuk menunaikan solat serta bertadarus al-Quran.
Menerusi laman sosial Facebook Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Wangsa, Lipis naskhah Yasin kelihatan sempurna dalam sebuah bekas atas meja milik kakitangan sekolah itu.
Apa menghairankan tiga naskhah surah Yasin berkenaan tidak dicemari lumpur banjir dan kering walaupun menyaksikan peralatan lain yang ada di bilik sekolah tersebut dipenuhi lumpur dan rosak.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook tersebut, tidak dinyatakan nama penulisnya, tetapi mempunyai catatan berikut: “Dalam musibah, Dia tunjukkan kuasa-Nya.”
Tulisnya lagi, dalam lumpur banjir dan peralatan yang tenggelam air banjir, Allah SWT tetap memelihara perkara-perkara yang dikehendaki-Nya.
“Keajaiban pada kita makhluk yang tak punya apa-apa menyaksikan kehebatan Allah SWT dalam keadaan yang tidak tercapai akal memikirkannya. Subhanallah,” tulisnya.
Hantaran di laman sosial tentang naskhah surah Yasin mendapat perhatian netizen dengan memberikan tanda suka dan menyebut ‘subhanallah’. – UTUSAN ONLINE