Najis tikus antara ‘bahan’ ditemukan di kilang kicap  - Utusan Malaysia

Najis tikus antara ‘bahan’ ditemukan di kilang kicap 

MOHD. WAZIR Khalid menunjukkan tong gentian kaca yang telah rosak dan pecah di bahagian penutup namun masih digunakan untuk memproses perapan kacang soya di sebuah kilang pemprosesan kicap di Jalan Patani, Georgetown, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Najis tikus, bekas penutup kacang soya dipenuhi kulat berbahaya untuk kesihatan merupakan antara yang ditemukan di sebuah kilang pemprosesan kicap yang beroperasi sejak hampir 100 tahun lalu, di Jalan Patani di sini.

Tambah menjijikkan pemilik kilang juga didapati memproses kacang soya berhampiran dengan tandas di kilang tersebut yang turut mengeluarkan tauchu dan kuah rojak untuk jualan di negeri-negeri sekitar utara tanah air.

Selain itu, pemilik kilang yang mewarisi perniagaan itu dari datuknya juga masih menggunakan tong gentian kaca yang telah rosak dan pecah di bahagian penutup untuk memproses perapan kacang soya.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang itu telah diarahkan tutup selama 14 hari serta dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan.

“Pemeriksaan di kilang kicap ini mendapati terdapat najis tikus di kawasan penyimpanan kicap dan pemilik juga memproses kacang soya berhampiran tandas.

“Kilang ini pernah diserbu tahun lalu dan kami telah menasihati pemilik menjaga kebersihan, namun dia masih ingkar dengan arahan,” katanya ketika ditemui di Jalan Patani di sini hari ini.

Menurutnya, tong gentian kaca yang digunakan untuk memproses penapaian juga telah lama digunakan dan terdapat kulat serta fungus yang boleh menyebabkan pencemaran silang terhadap bahan makanan itu.

“Kita telah mengarahkan pemilik menggantikan tong gentian kaca yang telah rosak dengan segera agar kebersihan makanan terjamin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah kilang pembuatan mi di Jalan Patani juga diarahkan tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak menepati piawaian kebersihan ditetapkan.

“Kita telah menjumpai najis lipas dan tikus di kilang pembuatan mi ini serta terdapat mi kering yang terdedah kepada udara dan ada yang ditutup dengan surat khabar sahaja.

“Apa yang mengecewakan kilang ini mempunyai logo halal dan MESTI, jadi kami akan bertindak melaporkan kepada pihak berkenaan agar logo ini ditarik balik penggunaannya di kilang ini,” katanya.

Tambahnya, kilang tersebut juga didapati meletakkan bahan pembuatan mi serta kuetiau di atas lantai yang melanggar peraturan ditetapkan.

Dalam pada itu katanya, secara keseluruhannya, sebanyak empat kompaun berjumlah hampir RM9,000 dikeluarkan ke atas kedua-dua premis itu hari ini atas pelbagai kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya