Najib berstatus 'Individu Dalam Pemerhatian' - Utusan Malaysia

Najib berstatus ‘Individu Dalam Pemerhatian’

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini ‘terpaksa’ meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama-sama peguam bela utamanya, Tan Sri Muhammad Shafeee Abdullah selepas status MySejahtera mereka bertukar warna.

Ia menyebabkan perbicaraan kes Ahli Parlimen Pekan itu berhubung penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah terpaksa ditangguhkan sehingga esok bagi memastikan status sebenar mereka.

Menurut salah seorang peguam bela Najib, Datuk Hariharan Tara Singh, pada mulanya status MySejahtera bekas Presiden UMNO itu dan Muhammad Shafee masing-masing berstatus ‘Individu Dalam Pemerhatian’ dan ‘Kontak Kasual’.

Tetapi selepas diminta oleh kakitangan mahkamah agar masing-masing mengemas kini profil kesihatan di aplikasi tersebut, status Najib dan Muhammad Shafee bertukar ‘biru’ (Risiko Rendah).

Menurut Tatacara Operasi Standard (SOP) Pencegahan Wabak Covid-19 Mahkamah Malaysia, hanya individu yang mempunyai status berwarna biru dibenarkan masuk ke bangunan mahkamah manakala lain-lain warna tidak dibenarkan.

Tambah Hariharan, selepas Najib dan Muhammad Shafee menjawab beberapa soalan dalam MySejahtera mereka, status biru mereka bertukar kembali menjadi ‘Individu Dalam Pemerhatian’ dan ‘Kontak Kasual’ menyebabkan kedua-dua individu terbabit terpaksa meninggalkan premis tersebut.

Mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua individu terbabit membuat ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 yang kemudian dimaklumkan bahawa hasil ujian RTK Najib dan Muhammad Shafee adalah negatif namun status MySejahtera mereka masih tidak berubah.

“Kedua-duanya (Najib dan Muhammad Shafee) juga telah menjalani ujian RT-PCR semalam tetapi status masih lagi belum bertukar. Kedua-duanya masih mempunyai kontak dengan individu yang positif Covid-19,” kata peguam itu.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mencadangkan agar perbicaraan kes itu dijalankan secara hibrid sejajar dengan peruntukkan Seksyen 15A Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) (Pindaan) 2020 yang membenarkan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi mengendalikan prosiding melalui siaran langsung video atau televisyen atau mana-mana alat komunikasi.

“Pihak pendakwaan dan saksi-saksi pendakwaan serta peguam-peguam bela yang lain boleh berada di Mahkamah manakala Najib dan Muhammad Shafee akan menyertai prosiding secara dalam talian,” kata Ahmad Akram.

Cadangan tersebut bagaimanapun dibantah oleh Hariharan atas alasan prosiding secara hibrid hanya sesuai bag prosiding yang tidak membabitkan kehadiran saksi dan para peguam hanya hadir untuk berhujah tanpa perlu memerhatikan perilaku dan sikap saksi mahupun tertuduh.

Tambahnya, sekiranya seseorang saksi itu menyatakan sesuatu yang baharu, pihak peguam perlu mendapatkan penjelasan daripada saksi dan tertuduh.

“Saya difahamkan, walaupun mikrofon berada dalam mod senyap (mute) tetapi pembesar suara (speaker) masih lagi terpasang dan terdapat potensi perkara yang dibincangkan dengan Datuk Seri akan didengar oleh pihak lain. Kelebihan berkomunikasi (privileged communication) tidak akan ada di antara peguam dan anak guam,” katanya.

Hakim Sequerah selepas mendengar hujah ringkas kedua-dua pihak memberitahu beliau akan membuat keputusan berhubung perbicaraan hibrid itu esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN