Nadal bakal kecewakan penyokong Australia - Utusan Malaysia

Nadal bakal kecewakan penyokong Australia

RAFAEL NADAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Bukan hanya pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic masih tidak mengesahkan penyertaan pada Terbuka Australia 2022, jaguh tenis Sepanyol, Rafael Nadal juga tidak dapat memberi jaminan sama ada akan beraksi dalam kejohanan Grand Slam tersebut.

Nadal, 35, berkata, dia tidak pasti apakah mampu beraksi di Melbourne bulan depan selepas kembali menyertai pertandingan pertamanya dalam Kejohanan Tenis Dunia Mubadala di Abu Dhabi minggu lalu.

Kemunculan semula juara Grand Slam 20 kali itu dalam kejohanan pertunjukan tersebut, iaitu pertandingan pertamanya sejak Terbuka Citi di Washington, Ogos lalu berakhir dengan dua kekalahan tipis kepada Andy Murray dan Denis Shapovalov.

Nadal, juara Terbuka Australia 2009 tidak menyertai sebarang pertandingan sepanjang enam bulan akibat kecederaan kaki iaitu sejak tersingkir di separuh akhir Terbuka Perancis, Jun lalu.

Dia juga terpaksa menarik diri daripada Wimbledon, Sukan Olimpik Tokyo dan Terbuka Amerika Syarikat (AS).

“Cadangan asalnya adalah mahu pergi ke sana dan mencuba yang terbaik di Australia…Secara jujur, saya tidak 100 peratus dapat menjamin perkara itu. Saya perlu berbincang dengan pasukan terlebih dulu.

“Hampir enam bulan saya tidak beraksi sejak perlawanan rasmi terakhir. Saya melalui proses ini banyak kali sepanjang kerjaya tenis tetapi saya perlu berlatih dan benar-benar sihat untuk berada dalam keadaan bersedia sebelum mampu kembali,” kata Nadal.

Pemain No. 6 dunia itu berkata, dia tidak akan menyertai kejohanan jika merasakan dirinya tidak cukup kompetitif untuk memberikan cabaran.

“Saya tidak bermain semata-mata kerana wang atau keseronokan.

“Saya bermain untuk mencapai matlamat atau sekurang-kurangnya menikmati proses cuba mencapai matlamat,” katanya.

Terbuka Australia yang bermula 17 Januari depan juga belum pasti disertai juara bertahan, Djokovic kerana sehingga kini bintang Serbia itu enggan mengumumkan mengenai status vaksinasinya.

Nama Djokovic, juara 2008, 2011, 2012, 2013, 2015, 2016, 2019, 2020 dan 2021 bagaimanapun tetap disenaraikan oleh penganjur biarpun undang-undang di Australia mewajibkan pemain mengambil vaksin Covid-19 untuk membolehkannya bertanding. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya