Muntah paus cuma asid lemak, sah tidak tulen - Utusan Malaysia

Muntah paus cuma asid lemak, sah tidak tulen

KETULAN objek dipercayai muntah ikan paus yang ditemukan seorang peniaga di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai seorang peniaga di Kemaman, dekat sini disahkan tidak tulen. 

Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, pengesahan itu dibuat Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari selepas analisis yang dijalankan bersama penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang. 

Katanya, hasil uji kaji mendapati sampel berkenaan tidak mengandungi tiga bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone, bahkan fizikalnya turut berbeza dengan struktur muntah ikan paus tulen yang seperti batu kapur. 

“Kandungan terbanyak dalam ketulan itu ialah Pyrazole dengan sejumlah 94.56 peratus dan Pyrrole (3.34 peratus). 

“Analisis mendapati ketulan itu terhasil daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak hingga membentuk ketulan sedikit berserat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Ruzaidi berkata, analisis termal turut dilakukan dan titik cair yang ditemukan adalah 76.04 darjah celcius berbanding muntah tulen, 82.32 darjah celcius. 

Malah, katanya, dakwaan kononnya ketulan itu beraroma adalah kerana kandungan 1H-Pyrazole (asid lemak) yang mengeluarkan bau apabila dibakar. 

 Dalam pada itu, menurutnya, muntah ikan paus tertakluk kepada Akta 686 dan memerlukan permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam Pupus (CITES) daripada Jabatan Perikanan. 

“Tanpa permit CITES, mana-mana individu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya