Muda kumpul RM1 juta untuk mangsa banjir - Utusan Malaysia

Muda kumpul RM1 juta untuk mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berjaya mengutip lebih RM1 juta untuk mangsa banjir di seluruh negara selepas membuka tabung kecemasan itu pada 18 Disember yang lalu.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata jumlah itu berjaya dikumpul kurang daripada 100 jam.

“Kurang daripada 100 jam selepas dana dilancarkan, Muda berjaya meraih RM1,045,600.00 hasil sumbangan dari seluruh rakyat Malaysia.

“Sumbangan ini terus digunakan bagi membantu menyegerakan misi menyelamat untuk mangsa banjir, membeli keperluan asas, makanan, alat kebersihan diri serta bagi menguruskan misi membersihkan kawasan pasca banjir,” katanya dalam kenyataan media itu.

Muda serta beberapa pasukan orang awam menjadi antara yang pertama yang memasuki kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam sementara Syed Saddiq pula yang membawa bot laju untuk menyelamat mangsa-mangsa yang masih terkandas di dalam rumah atau di atas bumbung rumah.

Menurut Syed Saddiq, setiap dana yang diterima akan diberikan kepada mangsa banjir dan beliau bertanggungjawab untuk memastikan ketelusan dalam menguruskan dana itu.

“Setiap ringgit dan sen yang disumbangkan ini akan digunakan 100 peratus untuk mangsa banjir.

“Sumbangan ini juga akan melalui proses audit bagi memastikan ketelusan dan integriti pengurusan wang dijaga,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN