Pada 10 tahun lalu, Zuwairiyah Abdullah, 43, berdepan pelbagai kesukaran untuk menjual tempe yang dihasilkannya di pasar sekitar Kedah.
Mungkin waktu itu belum ramai tahu keenakan tempe yang dihasilkannya.
Namun kini, jenama Mr’s Tempe yang dijual RM1 setiap satu, boleh terjual 2,500 tempahan dalam sehari disebabkan sambutan yang luar biasa daripada masyarakat setempat.
“Saya membesar di Kuala Lumpur dan sejak awal sudah didedahkan dengan pembuatan serta penghasilan tempe.
“Cabaran ketika itu adalah untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat di Kedah. Namun, kini ia mendapat sambutan memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Kata Zuwairiyah yang juga Sahabat AIM, setiap hari kira-kira 300 kilogram kacang soya diperlukan untuk menghasilkan antara 2,000 hingga 2,500 tempe.
“Saya mula membuat penghantaran tempe seawal pukul 4.30 pagi setiap hari ke pasar borong dan kedai makan sekitar Kulim, Kuala Ketil, Sungai Petani, Gurun dan Sikh,” katanya.
Untuk tempahan tempe yang segar dibuat setiap hari, boleh kunjungi Facebook, Mr’s Tempe atau hubungi 010-3934486. – UTUSAN