GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan rondaan, kesiagaan anggota, aset bot dan kapal berikutan amaran cuaca buruk serta keadaan laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ketika ini.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, tiupan angin Monsun Timur Laut ketika ini boleh mencecah sehingga 40 kilometer sejam dengan ombak setinggi tiga meter serta hujan lebat luar biasa dipercayai tempias daripada taufan Rai yang melanda Filipina.
Jelasnya, bencana alam itu boleh membahayakan keselamatan mereka yang melakukan aktiviti maritim terutama nelayan pesisir pantai, bot penumpang serta rekreasi termasuk aktiviti pelancongan di tepi pantai.
“Sehubungan itu kita menasihatkan komuniti maritim sentiasa cakna dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika keluar atau berada di laut.
“Ini termasuk pemakaian jaket keselamatan, peralatan komunikasi berada dalam keadaan baik, memaklumkan kepada persatuan atau ahli keluarga tentang keberadaan lokasi semasa dan bersedia dengan perubahan iklim yang tidak dijangkakan.
“Pengunjung pantai juga disarankan agar tidak mandi ketika keadaan laut yang bergelora,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook Maritim Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Abd. Razak turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.