Monsun Timur Laut, MB Perak batal tugas rasmi di Dubai - Utusan Malaysia

Monsun Timur Laut, MB Perak batal tugas rasmi di Dubai

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Penduduk di negeri ini terutama di beberapa kawasan diingatkan supaya bersiap sedia dan berwaspada kemungkinan berlaku banjir berikutan ramalan angin Monsun Timur Laut akan melanda mulai 26 Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara kawasan yang diramal terlibat ialah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Selama, Kerian dan Manjung.

Menurutnya, kawasan-kawasan itu disenaraikan oleh Jabatan Meteorologi  sebagai kawasan yang diramal terjejas akibat angin Monsun Timur Laut yang membawa kesan hujan.

“Mengambil iktibar banjir besar pada tahun 2014, kawasan-kawasan inilah yang memang terkena (banjir). Jadi saya minta Pejabat Daerah dan semua Pegawai Daerah yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah membuat persiapan secukupnya untuk menghadapi kemungkinan banjir.

“Aset dan tenaga kena cukup, jadi jangan dia (pegawai daerah) lepaskan pegawai-pegawai yang berkenaan bercuti, kita kena bersedia,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-37 Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lenggong Berhad, di sini hari ini.

Menurut Saarani, berikut bimbang kemungkinan banjir akibat angin Monsun Timur Laut,  beliau telah membuat keputusan untuk membatalkan tugas rasmi di Dubai.

“Saya sepatutnya mengetuai delegasi Perak ke Expo Dubai mulai 25 Disember ini tapi amaran (angin Monsun Timur Laut) akan berlaku pada 26 Disember ini, saya sudah batalkan itu (tugas rasmi di Dubai), saya tak pergi ke Dubai namun team yang lain akan pergi. Ini  kerana saya rasa bimbang jika berlaku kejadian yang sama (banjir 2014), jadi orang ramai kena waspada,” katanya.

Sementara itu, mengenai tular dalam media sosial siren amaran dibunyikan berikutan banjir di Kuala Kangsar malam tadi, Saarani berkata, setakat ini beliau tidak menerima laporan air dari empang-empangan di Sungai Perak telah dilepaskan.

“Belum ada laporan air Sungai Perak melebihi atau melimpah (empangan). Saya tak pasti siren yang dimaksudkan itu dari mana tapi memang di Sungai Perak ada beberapa lokasi yang dipasang siren iaitu apabila air melepasi paras bahaya, ia akan berbunyi. 

“Mungkin yang berbunyi itu siren amaran paras air sungai, saya tak pasti namun ia bukan siren empangan, kalau itu (siren empangan) saya akan dimaklumkan terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya