KUANTAN: Kerajaan mengalu-alukan mangsa banjir terutama yang terjejas teruk untuk memohon pinjaman kewangan sebanyak RM5,000 bagi membeli barangan dan peralatan asas yang musnah akibat musibah berkenaan.
Permohonan boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula Isnin ini dan tiada sebarang caj dikenakan.
Bantuan itu boleh dimohon melalui e-mel [email protected] atau layari www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, jumlah maksimum pinjaman adalah RM5,000 dan peruntukan RM100 juta disediakan oleh kerajaan untuk perkara tersebut.
“Proses permohonan mudah dan cepat dan peminjam perlu membayar balik pinjaman dalam tempoh tiga tahun enam bulan.
“Untuk enam bulan pertama selepas pinjaman diluluskan, mereka tidak perlu membayar apa-apa sehinggalah pada bulan ketujuh barulah mereka mula membayar balik pinjaman itu, tanpa sebarang caj untuk apa apa urusan atau sifar faedah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengetuai program misi pasca banjir perdana di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Bukit Rangin di sini hari ini.
Keseluruhan 850 buah rumah di PAKR berkenaan ditenggelami air banjir bermula Sabtu lalu dengan hampir 5,000 penduduk ditempatkan di pusat perpindahan sementara (PPS) berdekatan.
Mohd. Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, pinjaman kewangan tersebut juga boleh dimohon oleh para peniaga kecil yang terjejas sumber pendapatan akibat banjir.
“Dengan duit dari pinjaman itu mereka bolehlah kembali beroperasi sama ada membeli peralatan perlu di rumah dan di kedai masing masing,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE