PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah terhadap pemergian Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, yang terlibat dalam insiden letupan ketika operasi memadam kebakaran di Segamat, Johor.
Beliau menyifatkan Allahyarham adalah seorang wira di hati Keluarga Malaysia dan pengorbanan dari seorang wira pastinya dikenang sampai bila-bila.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham dan semoga tabah dalam dugaan yang dihadapi ini. Allahyarham adalah wira di hati Keluarga Malaysia dan pengorbanan dari seorang wira pastinya akan dikenang sampai bila-bila.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah untuk Allahyarham Mohd. Firdaus,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Mohd. Firdaus, 32, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Segamat pada pagi ini selepas terlibat dalam insiden itu.
Mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat ditugaskan memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu pada 5.15 pagi, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi ketika operasi pemadaman masih dijalankan, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.
Letupan itu menyebabkan Mohd. Firdaus dan terbaharu, seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40, terkorban akibat mengalami cedera parah. – UTUSAN ONLINE