Minta maaf gagal capai harapan rakyat Sarawak - DAP Sarawak  - Utusan Malaysia

Minta maaf gagal capai harapan rakyat Sarawak – DAP Sarawak 

Chong Chieng Jen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi rendah dan perpecahan undi dalam kalangan kaum Cina terutama kepada DAP di kawasan bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 jelas kelihatan apabila hanya merekodkan 40 hingga 45 peratus daripada keseluruhan undi. 

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, rekod itu jauh berbeza di pusat-pusat undi yang majoriti adalah bumiputera yang menyaksikan julat undian antara 65 hingga 70 peratus manakala undi polis dan tentera merekodkan 75 peratus. 

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak berkata, ia sangat bertentangan dengan keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)  menyaksikan undi Cina melebihi 65 peratus. 

“Kami mengakui peratusan keluar mengundi yang rendah dan pengundian berpecah disebabkan sentimen kekecewaan pengundi-pengundi di kebanyakan kawasan pilihan raya kami. 

“Hal ini kerana DAP dan Pakatan Harapan (PH), sepanjang 22 bulan kerajaan Pusat, tidak berjaya menyamai harapan rakyat.

“Walaupun kami mula melaksanakan banyak pembaharuan dalam sistem kerajaan, memperkenal banyak tadbir urus baik dan langkah mesra rakyat, namun kami masih gagal mencapai apa yang diharapkan semasa kami dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian setelah berbincang mengenai laporan bedah siasat ekoran kekalahan PH-DAP pada PRN Sarawak, 18 Disember lalu. 

Gabungan Parti Sarawak (GPS) diketuai Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menang dua pertiga atau 76 daripada 82 DUN ditandingi, DAP menang dua kerusi (Padungan dan Pending) manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) menang empat kerusi. 

Parti-parti lain termasuk PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Pas, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar), Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDSB) semuanya kalah malah kebanyakannya hilang deposit dalam pilihan raya itu. 

Pun begitu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu berkata, DAP akan terus berusaha melakukan yang terbaik dalam perjuangan politik demi ketelusan, akauntabiliti, tadbir urus baik, adil serta semak dan imbang dalam kerajaan negeri. 

“Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pembangkang bertanggungjawab, menyokong apa yang betul dan menentang yang salah oleh kerajaan hari ini.

“Kepada mereka yang telah mengundi DAP pada 2018 untuk membawa pertukaran kerajaan tetapi pada pilihan raya negeri kali ini memutuskan untuk tidak terus menyokong DAP kerana kami tidak memenuhi jangkaan anda, kami ingin memohon maaf kerana tidak mencapai jangkaan tersebut,” katanya. 

Di Padungan, Chieng Jen meraih 4,686 dengan majoriti 1,198 menumpaskan tiga calon Gabungan Parti Sarawak-SUPP, Wee Hong Seng yang juga Datuk Bandar Kuching;  Raymond Thong (Parti Bumi Kenyalang) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Lina Soo. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya