BALIK PULAU: Mangsa serangan ‘ombak besar’ tsunami pada 26 Disember 2004 mengharapkan tiada petanda buruk terjadi susulan mimpi air laut pasang tinggi di belakang rumahnya sebelum dihalang batu bersaiz besar, malam Isnin lalu.
Muhammad Aiman Sazali, 20, yang juga anak tunggal kepada Irdawati Sahimi iaitu mangsa yang terkorban dalam bencana itu berkata, dia percaya mimpinya itu hanya sekadar mainan tidur.
Katanya, dia sehingga kini masih terbayang dan tidak dapat melupakan kisah yang berlaku ketika sedang nyenyak tidur dan disifatkannya sebagai mimpi ngeri.
“Saya bermimpi di belakang rumah ada pantai dan hanya boleh berjalan kaki untuk ke situ. Ketika itu air laut surut dan saya sudah dapat jangka akan datang tsunami.
“Memang tinggi paras air tetapi tidaklah sampai menghempap rumah kami kerana ada batu besar menghalang. Saya kemudiannya terus terjaga daripada tidur dan hati berasa berdebar.
“Saya bukan mahir untuk tafsir mimpi tetapi amat berharap dan berdoa agar ia tidak menjadi kenyataan dan bukan petanda buruk akan berlaku kejadian tidak diingini nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam tragedi tsunami 17 tahun lalu, Muhammad Aiman yang ketika itu berusia tiga tahun antara mangsa yang terselamat biarpun seluruh badannya ditemukan dalam keadaan diselaputi dengan selut tebal ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 petang.
Ketika itu, Aiman dan ibunya bersama sanak-saudaranya sedang menikmati perkelahan di Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong di sini.
Turut terkorban ialah lima saudaranya iaitu Siti Nurain Zulkifli, Mohd. Shukri, Siti Nur Shuhada, Siti Nur Atikah dan Siti Suraya yang masing-masing ketika kejadian berusia antara lima hingga 17 tahun.
Muhammad Aiman memberitahu, dia juga masih trauma untuk bermain air laut dan hanya sekadar merendamkan kaki di gigi air.
“Awal dahulu, saya memang takut dan akan lari jika lihat ombak. Memang tidak sesekali melupakan tragedi hitam yang meragut nyawa ibu saya.
“Arwah ibu pernah dua kali mai (datang) dalam mimpi yang sama dan terkini pada bulan lalu. Ibu hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa dengan berpakaian serba putih.
“Kini, saya hanya menumpang kasih dengan nenek, Noridah Mohd. Noor, 60. Saya berjanji akan membalas jasa nenek yang menjaga sejak kecil. Dialah nenek dan dialah juga ibu,” katanya yang akan menziarah pusara ibu apabila kelapangan. – UTUSAN ONLINE