SEREMBAN: Soal sama ada menang atau kalah dalam sesuatu pilihan raya adalah terserah kepada keputusan rakyat namun semua pihak perlu bersama ketika ini untuk membela nasib rakyat.
Itu tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Ia selepas Shamsul Anuar mengatakan, pendirian PH tidak bersetuju untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan adalah kerana bimbang sekali lagi kalah selepas dua kekalahan dalam PRN sebelum ini.
“Itu pandangan dia, itu dia punya tafsiran, tapi soalnya sekarang, turun ke bawah ada masalah, adakah masalah nak selesai pilihan raya? Menang kalah kita serah kepada rakyat.
“Tetapi sekarang adalah tanggungjawab bersama, kerajaan pembangkang, setiap orang untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Ismail, Ampangan di sini hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, keputusan diambil oleh PH tersebut adalah mengambil kira kepentingan rakyat yang baharu ditimpa bencana banjir dan isu Covid-19 yang belum selesai.
“Kita hadapi banjir, Covid-19 belum selesai, hendak beri malapetaka kepada rakyat sebab apa? (Jadi) minta dipertimbangkan oleh Tuanku Sultan (Johor), kerajaan negeri untuk memikirkan maslahat, kepentingan, kehidupan, kesihatan dan keselamatan rakyat. Guna kekuatan yang ada sekarang untuk bela nasib rakyat, ” kata beliau.
Semalam, PH Johor menolak pelaksanaan PRN pada waktu ini kerana ia dilihat tidak sensitif memandangkan rakyat sedang mengalami krisis kesihatan Covid-19 dan ekonomi domestik.
Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam kenyataan bersama memaklumkan, PH Johor sebulat suara memberi komitmen sepenuhnya dalam membela nasib rakyat, berbanding hal politik dan soal perebutan kuasa.
Menurut mereka, segala usaha, tenaga, komitmen dan dana harus disalur untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan, walaupun kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini berada pada angka 28-27 selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.