PUTRAJAYA: Melaka menjadii negeri paling banyak ternakan katak di Malaysia sepanjang tahun ini, menurut laporan data terbaharu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Perangkaan terkini diterbitkan agensi itu awal bulan ini mengunjurkan sejumlah 1,069,516 ekor katak diternak di negeri berkenaan bagi rekod anggaran tahun 2021.
Ini menyaksikan pelarasan semula angka bagi ternakan amfibia apabila data tahun lalu dinilai semula sebagai 1,048,000 ekor katak di negeri itu, berbanding asalnya iaitu 1,560,875 ekor.
Justeru, rekod dikemas kini itu menunjukkan sepanjang tahun lepas, secara keseluruhannya Malaysia hanya menternak 1,211,927 ekor katak daripada data asalnya ialah 1,775,847 ekor.
Sementara untuk tahun ini, DVS meramalkan jumlah keseluruhan katak diternak di seluruh negara ialah 1,231,535 ekor dengan Perak dipadamkan dalam senarai empat negeri pengeluar.
Sebaliknya, Johor pula dimasukkan dalam rekod tersebut sebagai negeri kedua paling banyak ternak katak iaitu anggaran 90,409 ekor dan mengatasi Pulau Pinang sekadar 67,683 ekor.
Sabah turut disenaraikan oleh pihak DVS sebagai antara dua negeri terbaharu dalam industri ternakan katak tempatan selain Johor, apabila mampu mencatatkan 3,927 ekor amfibia itu.
Bagaimanapun, tiada catatan agensi ini mengenai ketiadaan Perak sebagai negeri pengeluar katak kerana tahun lalu ia merekodkan 147,289 ekor berbanding 140,600 ekor pada 2019.
Setakat ini, difahamkan terdapat 11 penternak katak di Melaka yang memasarkan hasil itu ke Kuala Lumpur dan Singapura dengan harga antara RM10 sehingga RM15 sekilogram.
Mereka mengusahakan ternakan tersebut di sekitar Daerah Alor Gajah dan Jasin dengan kata baka Bullfrog dari jenis Rana Catesbeiana dijadikan pilihan kerana saiz yang besar.
Ternakan amfibia ini lebih kepada pembekalan makanan eksotik di restoran dan lazimnya menerima permintaan tinggi para pelanggan yang gemar rasa enak daging atas faktor kesihatan, bagaimanapun di Eropah, katak mula mendapat pasaran besar untuk hidangan di restoran mewah terutamanya baka gergasi Jawa dari Indonesia yang terkenal dengan khasiat kakinya,
Media antarabangsa melaporkan, sejumlah 160 juta kaki katak itu dibekalkan bagi menampung keperluan di seluruh Perancis setiap tahun untuk hidangan yang dikenali cuisses de grenouille. – UTUSAN ONLINE