KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini menjadikan semua media sosialnya sebagai medium untuk menyalurkan maklumat berkaitan banjir dan panduan berguna kepada mangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, selepas banjir melanda kebanyakan negeri sejak semalam, media sosial menjadi alat komunikasi penting.
Sehubungan itu katanya, rakyat, khususnya mangsa banjir diminta peka dengan apa sahaja arahan dan perkembangan terkini dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Jika pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan supaya berpindah, mangsa yang terlibat perlu mengambil tindakan segera, jangan sekali-kali mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga mendedahkan diri dengan bahaya.
“Saya juga ingin mengingatkan masyarakat jangan anggap banjir sebagai pesta untuk bermain air, sebaliknya ambil iktibar dan langkah berjaga-jaga memastikan keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa yang diadakan di Klinik Eid Sofia, di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE