PUTRAJAYA: Pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai pengarah bukan eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) disokong penuh dua tokoh wanita disegani di negara ini.
Perkara itu diakui Pengerusi Lembaga Pengarah Heriot-Watt University Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood yang meyakini kredibiliti anak kepada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil itu mampu membawa transformasi dalam organisasi.
Beliau berkata, wanita muda itu disifatkan berkelayakan dan berprestasi tinggi untuk diberi tanggungjawab kepemimpinan yang mempunyai visi.
“Ini (pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah) adalah kepelbagaian yang sangat diperlukan! Izzana bukan sahaja seorang wanita muda yang berkelayakan dan berprestasi tinggi, malah beliau juga mempunyai visi untuk memacu perubahan,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Pandangan Yasmin melalui paltform media sosial itu kemudian diulang ciap oleh Pro Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia (HWUM), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood melalui Twitter.
Beliau turut menyambut baik pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mempertahan tindakan beliau melantiknya, dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.
Menurut Annuar, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana lantikan tersebut adalah berdasarkan merit dan layak berikutan pengalamannya selain mempunyai kelulusan akademik luar negara.
“Pelantikan ini dibuat Kementerian Kewangan dan kementerian KKMM menyambut baik pelantikan tersebut. Pelantikan ini adalah berdasarkan merit seseorang yang dilantik. Beliau adalah wanita muda yang berkelulusan tinggi, graduan daripada Imperial College Business School dan Universiti Harvard serta mempunyai trek rekod yang tersendiri.
“Beliau ketika ini dikaitkan dengan masalah yang dihadapi keluarganya. Saya rasa kita perlu bersikap adil. Kalau ibu bapa mengalami masalah, kita tidak mahu anak-anak kita dikenakan gangguan.
Pelantikan beliau adalah berdasarkan merit dan beliau sepatutnya diberikan peluang. Jawatan beliau adalah jawatan bukan eksekutif, jadi kementerian berkeyakinan beliau boleh memberikan sumbangan dan membawa suara wanita muda MDEC,” kata Annuar.
Sebelum itu, Ahli Parlimen DAP, Kasthuriraani Patto mempertikai pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah yang juga pengarah di Talent Corp dan ahli panel pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) wajar digantikan dengan wanita lain yang lebih berkelayakan. – UTUSAN ONLINE