JOHOR BAHRU: Kerja-kerja penaziran oleh MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula di Johor, kata Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, kesemua jentera parti dan bahagian-bahagian di seluruh negara juga diarah membuat persiapan menghadapi PRU yang boleh diadakan bila-bila masa.
“2022 menyaksikan sudah empat tahun selepas PRU-14 diadakan Mei 2018 dan PRU akan datang mungkin boleh diadakan dalam tempoh maksimum 18 bulan akan datang. Kita akan mulakan kerja-kerja penaziran di Johor terlebih dahulu, iaitu kerja-kerja persiapan oleh satu pasukan khas daripada MCA pusat untuk melihat di mana kelemahan agar boleh diperbaiki dan diaudit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, MCA memilih Johor sebagai lokasi permulaan kerana negeri tersebut adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan pihaknya berhasrat mengembalikan kegemilangan MCA dalam PRU-15.
Sementara itu, mengulas berhubung Undi-18, Ka Siong memberitahu pihaknya bersedia meletakkan seramai mungkin calon baharu dalam menghadapi gelombang generasi muda.
“Kesan daripada Undi-18, beberapa kawasan seperti Parlimen Iskandar Puteri akan menyaksikan pertambahan seramai 300,000 pengundi, manakala Parlimen Tebrau seramai 290,000 pengundi. Ini adalah tekanan besar, kawasan sedemikian perlu ada strategi dan percaturan lebih baik dan kita rasa pendekatan baharu perlu digunakan untuk persiap calon daripada segi mentaliti mereka.
“MCA mesti letak seberapa ramai calon muda yang berkebolehan, berwibawa dan yang dikenali masyarakat. Calon tua ada sedikit ‘disadvantage’ sebab orang dah kenal dan tahu kelemahan mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE