IPOH: Prihatin dengan nasib menimpa penduduk Selangor yang terjejas akibat banjir, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tampil menghulurkan bantuan dengan menghantar 23 pekerja lapangannya ke lokasi bencana.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pekerja yang terlibat membabitkan 10 orang daripada Jabatan Landskap dan 13 orang daripada Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasa.
Katanya, mereka diatur gerak bagi membantu Majlis Perbandaran Kuala Langat untuk operasi pemindahan penduduk di sekitar kawasan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Bukit Changgang, Sepang ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“MBI menyahut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di mana negeri Perak sedia menghantar bantuan kepada mangsa banjir khususnya di Selangor dan Pahang.
“Jadi, hari ini, kita menghantar 23 orang pekerja lapangan bagi membantu warga Selangor khususnya di daerah Kuala Langat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Mangsa Banjir MBI di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini hari ini.
Menurut beliau, selain menghantar pekerja lapangan, MBI turut membawa bersama sebuah bot penyelamat, dua buah lori dan 100 pek bantuan makanan MBI Prihatin bagi meringankan beban penduduk kawasan berkenaan.
“Mereka dijangka berada di sana selama tiga hari hingga Khamis ini dan kita akan menggantikan dengan kumpulan lain pula sehingga selesai kerja-kerja pemindahan dan pembersihan.
“Selain Selangor, bantuan sama juga akan disalurkan ke negeri Pahang namun ia bergantung kepada keadaan. Jika air banjir telah surut, kita akan bantu daripada aspek pembersihan,” katanya.
Tambah beliau, MBI sentiasa berkomunikasi dan bekerjasama dengan pihak Majlis Perbandaran Bentong, Pahang bagi mendapatkan maklumat terkini keadaan banjir di sana.