KUANTAN: Mayat pengusaha sebuah chalet di Bentong, dekat sini berjaya ditemukan hari ini, manakala dua lagi mangsa masih hilang selepas dibawa arus sungai yang deras, sejak Sabtu lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa, seorang wanita, Yap Koon Lan, 66, ditemukan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
Menurutnya, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan oleh anjing pengesan Unit K9 kira-kira pukul 10.15 pagi.
“Kerja-kerja menyelamat dan mencari mangsa termasuk pemugaran di lokasi dengan cara mengalihkan longgokan kayu, bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dinaikkan dengan menggunakan tali dan stretcher dari kawasan lembah yang berkedalaman kira-kira 100 kaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketika kejadian, laporan pihak bomba memaklumkan terdapat 35 orang yang terkandas dalam resort berkenaan, 32 daripadanya berjaya diselamatkan namun tiga orang didapati telah hilang.
Mereka yang terselamat berada dalam keadaan kesejukkan dan takut untuk berada dalam chelet yang tidak selamat disebabkan ancaman arus deras.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, operasi menyelamat dilakukan JBPM dari Balai Polis Cameron Highlands dan Gombak.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan lagi dibantu oleh 21 anggota keselamatan bersama tiga ekor anjing unit K9 dari Unit Pengesan.
“Kawasan pencarian mangsa banjir tersebut dijalankan pada jarak 300 meter radius dari kawasan kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang hilang diteruskan, namun akan ditangguhkan sekitar pukul 6.30 petang dan disambung semula pada hari esok,” katanya.