KUANTAN: Seorang operator kilang hanyut bersama kenderaan jenis Exora yang dibawa arus deras banjir di Jalan Pintasan Kampung Chempaka-Sungai Soi, dekat sini, ditemukan lemas, hari ini.
Mangsa, Mohd. Helmi Nazlan, 34, ditemukan pada pukul 7.15 pagi tadi oleh pasukan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama penduduk kampung.
Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemukan di kawasan pantai Chempaka pada jarak kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
Menurutnya, susulan penemuan itu, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk tindakan lanjut.
“Kejadian bermula dua hari lalu apabila mangsa bersama rakannya telah terkandas dan dihanyut dibawa arus deras ketika cuba mengharungi banjir bersama kereta Proton Exora dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Pahang.
“Namun begitu, rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin belakang kereta tersebut. Dalam operasi semalam, kenderaan mangsa dijumpai 500 meter dari jalan raya,” katanya di sini hari ini.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Balai Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Mohd Kasim tamat pada pukul 7.31 pagi susulan penemuan mayat mangsa.