KANGAR: Negara memerlukan generasi dan rakyat yang memiliki moral yang unggul dan berakhlak tinggi demi memelihara keharmonian, perpaduan dan kemajuan pembangunan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, negara yang maju dan makmur adalah yang memiliki masyarakat dengan ciri-ciri tersebut.
Baginda bertitah, Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk dengan pelbagai budaya dan agama sentiasa diterapkan serta disemai dengan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
“Kesemua agama memberi pelbagai pengajaran terhadap soal moral, akhlak dan kemanusiaan. Sekiranya nilai-nilai murni dihayati satu persatu maka masyarakat pasti hidup aman dan tenteram.
“Penghayatan nilai murni juga membawa kita kepada kehidupan yang bertamadun dan secara tidak langsung bertindak sebagai pemangkin kepada keutuhan nilai murni dalam masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyantuni dan menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Salbiah Hamid, 69, di Kampung Wang Ulu di sini, semalam.
Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Salbiah yang sakit terlantar merupakan salah seorang penerima Bantuan Fitrah MAIPs.
Tambah baginda, penghayatan moral unggul dan nilai murni oleh masyarakat majmuk perlu diteruskan dan dipupuk agar terus diamalkan bagi membendung serta mengatasi gejala sosial dalam masyarakat hari ini.
“Apabila terhakisnya penghayatan nilai-nilai murni dalam masyarakat, ia menyebabkan perilaku lebih cenderung ke arah negatif. Kita perlu berusaha menangani perkara ini dan sentiasa membuka ruang perbincangan dan percambahan minda agar masyarakat sedar tentang tanggungjawab masing-masing,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE