PUTRAJAYA: Masjid-masjid di Wilayah Persekutuan kini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir khususnya di sekitar Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) supaya menyelaras perkara itu.
Beliau berkata, antara masjid berkenaan termasuk Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Putrajaya).
“Masjid-masjid lain di Wilayah Persekutuan bersedia dan menyediakan keperluan-keperluan yang bersesuaian.
“Pihak masjid juga akan menguruskan makanan melalui Program Dapur It’am dan Jawi Food Bank,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, beliau turut mengarahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menyediakan keperluan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Idris berkata, beliau berharap agar mangsa-mangsa banjir terus bersabar dengan ujian daripada Allah S.W.T yang menimpa.
Sementara itu, Jawi menerusi kenyataan berkata, pihaknya sudah menggerakkan bantuan dan sumbangan keperluan bersesuaian kepada golongan terkesan banjir sejak semalam.
Menurutnya, Program Dapur It’am berkonsepkan dapur berpusat di 70 buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan juga sudah menumpukan kepada agihan makanan bermasak kepada golongan terjejas dan petugas banjir.