Masjid al-Wakil rugi RM150,000 - Utusan Malaysia

Masjid al-Wakil rugi RM150,000

DUA sukarelawan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan selepas air banjir mula surut di Masjid al-Wakil, Lubok China, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Masjid al-Wakil, Lubok China di sini yang usianya mencecah 93 tahun mengalami kerugian hampir RM150,000 ekoran banjir besar yang melanda kawasan itu, minggu lalu.

Pengerusi masjid tersebut, Nasaruddin Mohamad berkata, banyak kerosakan di masjid yang dibina pada 1928 itu apabila  pagar di bahagian belakang roboh manakala jambatan turut musnah dalam kejadian itu.

Katanya, air yang naik mendadak sehingga mencecah hampir dua meter turut menyebabkan pelbagai peralatan rosak dan ruang dalam tempat solat lantainya pecah.

Beliau berkata, ia adalah peristiwa terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas banjir besar melanda seluruh negara pada 1971.

“Sewaktu banjir pada 1971, tidaklah seteruk apa yang terjadi Sabtu lalu. Kali ini lebih dahsyat apabila air memasuki ruang dalaman solat merosakkan karpet, lantai, mimbar, semua pintu kembang, sejadah, al-Quran dan banyak lagi.

“Barangan lain yang rosak antarnya ialah pendingin hawa, sistem audio dan tangki air turut hanyut dibawa air. Kerugian yang dianggarkan akibat bencana ini adalah sebanyak RM150,000. Seluruh ahli kariah masjid tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan yang ada disebabkan air naik terlalu cepat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Nasaruddin berkata, masjid tersebut telah dibersihkan Isnin lalu selepas air mula surut dibantu pelbagai pihak antaranya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan penduduk setempat.

Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri akan menyalurkan sejumlah peruntukan manakala Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyumbang RM20,000 sambil mengharapkan sumbangan daripada pelbagai pihak.

“Masjid belum dapat digunakan oleh penduduk dalam tempoh terdekat ini kerana kerja-kerja membaiki lantai sedang giat dilakukan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya