PUTRAJAYA: Tan Sri Noh Omar memaklumkan, beliau masih lagi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor dań menafikan dakwaan dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa jawatan tersebut bertukar tangan.
Beliau berkata, apa yang dilakukan Amirudin adalah cubaan untuk lepas tangan dari tanggungjawab dan tidak memahami tugasnya yang sebenar.
“Saya nak bagitahu, saya terpaksa ‘sekolahkan’ Menteri Besar Selangor sebab apa yang tural semalam, nampaknya dia tidak faham sebenarnya.
“Saya masih lagi Pengerusi MKN Selangor bukan MB Selangor seperti yang tular semalam, harap Amirudin boleh faham.
“Menteri Besar jangan lepas tangan, jangan tuding jari salahkan sesiapa. Kalau dia nak lepas tangan lebih baik dia lepaskan jawatan,” katanya dalam sidang akhbar menjelaskan dakwaan yang dibuat Amiruddin, semalam.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sekiranya Amirudin memahami bidang tugasnya tidak akan timbul cakap-cakap kononnya tidak boleh mempengerusikan mesyuarat seperti yang didakwa.
“Menteri Besar mungkin dia tidak faham ada dua arahan berbeza dibawah MKN iaitu pertama pengurusan keselamatan negara.
“Yang kedua ialah Majlis Keselamatan Negara, Semakan Semula Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana negara, ini dua yang berbeza.
“Ini menunjukkan apabila ada dua arahan ini maknanya ada dua jawatankuasa. Saya dilantik dibawah arahan nombor 1 iaitu isu pengurusan keselamatan negara dan dilantik oleh Perdana Menteri.
“Yang sepatutnya menteri besar tengok ialah arahan nombor 20 iaitu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
Pada sidang akhbar itu juga, Ahli Parlimen Tanjung Karang memaklumkan Amirudin telah memohon maaf ekoran salah faham yang timbul berkenaan isu Pengerusi MKN Selangor.
“Saya pun nak mohon maaf sebab terpaksa buat sidang akhbar ini untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul dan saya telah maafkan beliau,” katanya. -UTUSAN ONLINE