PARIT BUNTAR: Pemandu lori sayur yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam, Muhamad Hafiz Hamdi, 31, ada memberitahu dia mahu berhenti kerja.
Ibunya, Hamiah Mukri, 61, berkata, perkara itu diberitahu kepada ibu saudara anaknya itu ketika Muhamad Hafiz balik kampung pada Rabu lalu setelah pulang dari menghadiri majlis kenduri di rumah kawannya di Bagan Serai.
“Dia memberitahu kepada makciknya, dia hendak berhenti kerja sebagai pemandu lori selepas trip ke Cameron Highlands iaitu semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Parit Tanjung Piandang dekat ini hari ini.
Menurut Hamiah, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada kelmarin, sehari sebelum anaknya itu yang bekerja sebagai pemandu lori sayur maut apabila tertimbus dalam tanah bersama kenderaan yang dipandunya.
Katanya, dia pengsan sebaik sahaja menerima berita kejadian yang menimpa anak kesayangannya itu melalui suaminya Hamdi Zaili, 68.
“Hafiz anak ketiga daripada lima beradik, perwatakannya pendiam, anak yang taat dan tidak pernah membantah percakapan ibu bapa,” katanya.
Katanya, anaknya itu sangat gembira malah menyatakan hasrat untuk memasak makanan pengantin sempena majlis perkahwinan adiknya yang keempat pada 19 Disember ini.
“Dia kata dia telah menempah ikan siakap dan udang untuk dia masak dalam majlis itu selain berpesan kepada saya supaya menambah 10 ekor ayam.
“Apa yang telah dipesan dua hari lalu masih lagi terngiang-ngiang dan terbayang dalam fikiran saya, menyebabkan saya rasa amat sedih namun reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Katanya, semasa kejadian semalam, anaknya turut membawa kad jemputan kenduri perkahwinan adiknya yang diletakkan dalam lorinya untuk diedarkan kepada rakan -rakannya.
Muhamad Hafiz meninggalkan dua orang cahaya mata, Nurhannan Fitrysha, 2, dan Muhammad Hafiy Fahri, 7 bulan, hasil perkahwinan dengan Nor Shahida Saidin, 31, manakala dua orang lagi anak dari perkahwinan yang terdahulu masing-masing berusia 12 dan tujuh tahun.
Jenazah akan disolatkan di rumah ibu bapanya dan akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Piandang selepas solat Asar. – UTUSAN ONLINE