REMBAU: Dua mangsa yang maut selepas dirempuh treler dalam kejadian di lorong kecemasan di Kilometer 241.6, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, awal pagi semalam rupa-rupanya adik beradik.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Saifuddin Abdullah, 50, pemandu lori, jenis Isuzu yang merupakan seorang mualaf yang telah memeluk Islam sejak 14 tahun lalu.
Allahyarham adalah abang sulung kepada penunggang motosikal jenis Honda, R. Morgana Krishnan, 49.
Morgana Krishnan ketika kejadian datang dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur bagi membantu abangnya itu yang mengalami masalah kehabisan minyak dan kenderaan tidak dapat dihidupkan.
Isteri Allahyarham Saifuddin, Naning Yuliani, 37, berkata, suaminya itu sempat mengirimkan kiriman mesej bergambar di WhatsApp yang memaklumkan keadaan lorinya yang masih tersadai di tepi lebuh raya berkenaan pada pukul 10 malam.
“Pukul 6 pagi baru saya tahu suami dan adiknya yang datang membantu telah dirempuh lori treler di lokasi kejadian, memang ia begitu mengejutkan. Seminggu sebelum kejadian ini, suami ada berhajat untuk membeli al-Quran yang mempunyai tafsir serta huruf rumi buat anak tunggal perempuan kami yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme.
“Suami kata dia akan kumpul duit kerana harga al-Quran berkenaan agak mahal berbanding yang biasa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Sementara itu, adik kedua-dua mangsa, R. Kuna Sundari, 37, berkata, hubungan mereka adik beradik seramai lima orang sangat baik dan rapat walaupun Allahyarham Saifuddin telah memeluk agama Islam.
“Kedua-dua mereka sangat baik dan disebabkan tinggal berdekatan iaitu di Klang dan Rawang, kedua-dua abang saya ini saling tolong-menolong jika ada di antara mereka yang mempunyai masalah,” katanya.
Jelasnya, abang sulungnya itu akan dikebumikan di Johan Setia, Klang Selangor manakala jasad Morgana Krishnan akan dibawa ke Serendah dan diuruskan pihak ketika selepas mendiang dikesan positif Covid-19.
Semalam Utusan Online melaporkan dua lelaki maut dalam kejadian di lorong kecemasan di Kilometer 241.6, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) dekat sini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu lori jenis Isuzu, motosikal jenis Honda dan sebuah treler.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori sedang berhenti di lorong kecemasan kerana kehabisan minyak dan dibantu oleh penunggang motosikal yang datang membawa botol minyak. Kemudian datang lori treler dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang merempuh pemandu lori dan penunggang motosikal yang berdiri di sebelah kanan lori menyebabkan kedua-dua mangsa melambung dan jatuh di atas lorong kecemasan di tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE