KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Hulu Langat menyifatkan kejadian banjir sebagai mimpi buruk yang sukar dilupakan kerana tidak pernah berhadapan situasi itu sepanjang hidup mereka.
Seorang penduduk, Heliza Azizan, 40, berkata, meskipun menganggap bencana itu sebagai ujian, tetapi ia adalah pengalaman pahit yang sukar ditelan.
“Sebelum ini pernah berlaku banjir tapi tidak seteruk ini sehinggakan kami terduduk apabila melihat keadaan rumah tidak ubah seperti tsunami selepas air surut. Kami terkedu, terduduk dan tidak tahu nak mula dari mana.
“Kami buntu dekat mana mahu mula, tetapi nasib kami baik, ada pihak yang ringan tulang seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) datang hulur bantuan saat kami memerlukan. Terima kasih sukarelawan Skuad Antidadah,” katanya.
Terdahulu, kehadiran para sukarelawan Skuad Antidadah dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang membantu mangsa banjir di Taman Seri Nanding, Selangor telah meringankan beban masing-masing.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Izzuddin Ahmad Bahrin, 28, memberitahu, bantuan tenaga yang dihulurkan pihak luar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) benar-benar membangkitkan semangat untuk teruskan kehidupan.
“Kami amat memerlukan bantuan tenaga selain barangan keperluan harian seperti makanan dan pakaian untuk mulakan hidup semula.
“Semua barang kebanyakannya musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Kami harap ada pihak yang sudi bersama-sama kami seperti Skuad Antidadah,” katanya.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 21,385 mangsa banjir (5,510 keluarga) dicatatkan di Selangor setakat semalam, meningkat sedikit berbanding sebelumnya iaitu 21,047 (5,274 keluarga) dengan kesemua mereka ditempatkan di 117 pusat pemindahan sementara (PPS). – UTUSAN ONLINE